Teknik-teknik pembelajaran berkesan perlu diketahui agar pelajar boleh memanfaatkan kaedah dalam usaha untuk mendapatkan ilmu sebagai langkah untuk memperolehi kejayaan yang cemerlang di dalam bidang pembelajaran.
Kaedah pembelajaran yang dimanfaatkan merupakan satu bonus  untuk memudahkan pelajar menimba pengetahuan untuk menghadapi peperiksaan.

Beberapa garis panduan berikut boleh dikongsikan untuk membantu pelajar bagi menghadapi peperiksaan.

FAKTOR-FAKTOR DORONGAN DALAM PEMBELAJARAN 

  • Mewujudkan ‘motivasi dalaman’ atau faktor-faktor pendorong seperti faktor kemiskinan atau untuk bersaing.
  • Menginsafi akan kepentingan ilmu, tujuan ilmu dipelajari, untuk apa dan hendak ke mana ilmu yang dikumpulkan itu.
  • Terbit dari dalam diri seperti kesungguhan dan  tanggungjawab sebagai seorang pelajar.

LANGKAH-LANGKAH PERSEDIAAN
  • Kesediaan dan kemampuan dari segi mental, fizikal dan kerohanian .

  • Kesediaan untuk fokus dan memberi tumpuan fikiran yang sepenuhnya terhadap pelajaran. Ketika belajar jangan menganggu minda dengan perkara-perkara lain yang boleh mengakibatkan kecelaruan dan tekanan untuk memberi perhatian yang serius .
  • Jangan berkhayal ketika belajar kerana ia mengurangkan kefahaman dalam mendapatkan info dalam proses pembelajaran.
     
TEKNIK-TEKNIK PEMBELAJARAN
  1. Suasana belajar yang kondusif – tidak bising atau ada gangguan yang kurang selesa.
  2. Memilih masa yang sesuai dan masa yang berkualiti untuk belajar.
  3. Setiap hari persekolahan, peruntukan sekurang-kurangnya 2 jam untuk menelaah dan mengulangkaji pelajaran di samping menyelesaikan kerja-kerja yang diberikan oleh guru. Pada waktu cuti, 4 hingga 5 jam adalah memadai untuk menelaah pada waktu yang sesuai, iaitu pada waktu pagi dan malam.(ingat ! waktu belajar yang sesuai tidak sama antara semua individu)
  4. Menyediakan satu jadual kerja harian supaya pelajar lebih berdisiplin untuk belajar.
  5. Pembaziran masa dengan perkara-perkara tidak membantu dalam mempertingkatkan kualiti pembelajaran haruslah dielakkan.
  6. Pembelajaran di sekolah merupakan sumber yang penting. Oleh itu beri sepenuh perhatian dan penumpuan ketika berada di sekolah.
  7. Membaca, Memahami dan Menghafal – Teknik pembacaan yang baik ialah pembacaan yang menyeluruh bagi pusingan yang pertama. Isi dan istilah-istilah yang penting digariskan. Kalau perlu isi yang digariskan itu dicatat sebagai nota pendek atau ringkas.
  8. Ambil perhatian kepada isi-isi yang penting dan hendaklah dibaca selalu. Kalau perlu setiap isi-isi itu hendaklah dihafal sedaya mungkin terutama apabila hampirnya waktu peperiksaan. (ingat ! hafalan tanpa pemahaman yang kukuh adalah sia-sia).
  9. Menyusun nota dengan teratur dan berkesan dan mempunyai ciri-ciri seperti :-

    • Mengandungi semua maklumat penting

    • Bersih dan mudah dibaca
    • Terkumpul & Tersusun (di dalam fail/Buku Khas)
    • Ringkas dan padat


      KESUNGGUHAN BELAJAR
  1. Elakkan diri daripada faktor-faktor yang boleh membosankan ketika membaca.
  2. Kesungguhan belajar mestilah berterusan dari segi semangat belajar dan usaha dari awal hinggalah ke masa peperiksaan.Proses pembelajaran merangkumi
    a. Mendengar untuk pertama kali
    b. Memahami
    c. Menggunakannya
    d. Mencipta yang baru
  3. Sentiasa meningkatkan semangat belajar dari masa ke semasa. Semakin hampir dengan tarikh peperiksaan semakin bersungguh-sungguh untuk belajar dan semakin berkeyakinan dalam menghadapi peperiksaan.
  4. Belajar  secara berkumpulan boleh membantu . Apa yang pentingnya carilah rakan pelajar yang boleh anda manfaatkan pengetahuan dan kefahaman anda kepadanya dan sebaliknya.
  5. Yakinlah dengan kebolehan yang ada pada diri anda dan kesungguhan anda untuk belajar dan yakinlah dengan pertolongan Allah S.W.T.